Impian Tunaikan Haji Musnah Selepas Diperdaya Pihak Tertentu. Sanggup Jelaskan Bayaran Tambahan 7Ribu Konon Melalui ‘Kuota Raja Salman’

SANGGUP bayar caj tambahan RM7,000 setiap seorang dikatakan untuk mendapatkan kuota visa haji Raja Salman membabitkan 20 kekosongan bagi menunaikan haji, tahun ini.

Mereka adalah 36 bakal jemaah haji didakwa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, sejak Isnin lalu selepas tidak mendapat tiket penerbangan dan visa haji.

Mereka adalah daripada kumpulan lain, dikatakan dikendalikan oleh syarikat sama, yang menguruskan 26 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, Isnin lalu.

Seorang daripada yang terkandas, Siti Esah Hussain, 65, berkata, dia tinggal di Johor dan tiba ke KLIA pada Isnin selepas dimaklumkan penerbangan ke Tanah Suci ialah pada hari berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak memperolehi tiket penerbangan dan visa. Saya berada di KLIA ini sejak Isnin lalu dan menginap di hotel di Seremban, Negeri Sembilan.

“Selepas diberitahu ada visa haji kuota Raja Salman, saya turut membayar caj tambahan sebanyak RM7,000 kerana memang mahu sangat ke Tanah Suci bagi menunaikan haji,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA, Sepang, hari ini.

Dalam pada itu, Siti Esah berkata, dia mengambil keputusan menunaikan ibadat haji bersama syarikat itu memandangkan perlu menunggu giliran sehingga 2027.

“Memikirkan faktor usia dan kesihatan, saya memilih untuk menunaikan haji menggunakan pakej ditawarkan syarikat swasta dan tidak menyangka akan berdepan dengan ujian tidak dapat ke Tanah Suci,” katanya.

Seorang lagi yang enggan dikenali berkata, dia turut membuat pembayaran bagi caj tambahan RM7,000 bagi mendapatkan kuota visa haji Raja Salman.

“Saya juga sama seperti Siti Esah sepatutnya berlepas ke sana pada Isnin tetapi tidak memperolehi tiket penerbangan dan visa. Apabila dimaklumkan ada kuota berkenaan, saya tidak ketinggalan membayarnya.

“Saya memilih pakej ditawarkan syarikat ini selepas melihat maklum balas daripada jemaah sebelum ini yang memaklumkan, syarikat ini terbaik dalam pengurusan malah pernah menguruskan jemaah haji sebelum ini,” katanya.

Katanya, difahamkan, pakej ditawarkan adalah pelbagai membabitkan bayaran sekitar RM30,000 hingga RM50,000 menggunakan visa haji Furada.

Terdahulu, semalam Harian Metro melaporkan, 26 rakyat Malaysia yang kononnya menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah selepas imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Imbas pasport keluar muka orang lain

Menerusi laporan itu, mereka datang dalam satu kumpulan menaiki penerbangan komersil dari KLIA sebelum tiba di Jeddah, jam 7 malam kelmarin.

Kesemua rakyat Malaysia itu tiba di tanah air jam 11.03 pagi semalam menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH151.

”Bila imbas pasport keluar di skrin muka orang lain,” kata Sabariah Osman salah seorang 26 jemaah rakyat Malaysia yang terkandas di Jeddah sejak Isnin lalu kerana memiliki visa Furada haji palsu.

Sabariah, 60-an antara 26 jemaah haji yang terkandas berkata, dia merasa terkilan tidak dapat menunaikan rukun Islam kelima kerana memiliki visa palsu.

“Saya membayar pakej ini dengan harga RM33,000 namun masih tidak dapat menunaikan haji pada kali ini, tetapi saya anggap semua ini ketentuan dari ALLAH,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menceritakan situasi di sana, Sabariah yang berasal dari Pulau Pinang berkata, apabila tiba di kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, pegawai imigresen itu berkata visanya memaparkan wajah yang berbeza.

“Pegawai itu turut bertanya tarikh lahir saya memandang ia tidak sama dengan maklumat yang dipaparkan pada visa yang saya miliki itu,” katanya.

“Bila tanya jemaah lain juga kata ada muka bertukar jadi milik orang Indonesia, Nigeria dan warganegara lain,” katanya.

Sabariah berkata, beliau merasakan syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours tidak melakukan penipuan susulan kejadian yang menimpa beliau dan jemaah yang lain.

“Saya tidak salahkan agensi tapi rasakan perkara ini berlaku kerana silap di pihak sana (Arab Saudi),” katanya.

Pada masa yang sama, Sabariah turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas layanan pihak kedutaan Malaysia di sana dan Tabung Haji.

Agensi uruskan jemaah buat laporan polis

Sebuah agensi pelancongan yang mengendalikan urusan jemaah haji di Tanah Suci, membuat laporan polis berikutan 26 orang rakyat Malaysia terkandas di Jeddah kerana dikatakan mempunyai visa haji furada (persendirian) palsu.

Pengarah Syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours Mohamad Sazrul Iqram Rozlan berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak pagi semalam sejurus menerima berita tersebut.

“Ini kejadian kali pertama berlaku kepada syarikat kami yang terlibat dalam pengurusan jemaah haji sejak 12 tahun lepas,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Kumpulan itu tiba di Jeddah menggunakan penerbangan komersial dari KLIA dan kemasukan mereka tidak dibenarkan dipercayai akibat masalah teknikal pada visa haji furada yang mereka peroleh.

Mohamad Sazrul Iqram mendakwa permohonan visa furada itu diuruskan oleh pegawai Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

“Kita terkejut dikatakan visa itu tidak sah kerana kita telah lama berurusan dengan pihak kedutaan. Kita merasakan kepercayaan kita kepada pihak tersebut telah dicabuIi apabila kejadian ini berlaku,” katanya.

Beliau berharap siasatan penuh dapat dilakukan pihak berkuasa berkenaan kes itu yang secara langsung telah menjejaskan nama baik syarikat berkenaan.

Sumber dari Bernama dan Harian Metro